080803 7 letupan bom gegar Hat Yai, Songkhla
YALA, Thailand 3 Ogos - Dua penduduk cedera apabila tujuh butir bom yang diletakkan di dalam beberapa buah kedai di bandar pelancongan Hat Yai dan Songkhla meletup, malam tadi.
Sementara itu, dua lagi mangsa maut dalam serangan yang dipercayai dilancarkan oleh pejuang pemisah di Yala.
Ketua Polis Songkhla, Jeneral Viroon Aiempaijit berkata, pada masa ini pihak nya masih mengumpulkan bukti dan terlalu awal untuk mereka memaklumkan siapa dalang dalam kes tersebut.
"Kita belum boleh menyatakan apaapa lagi termasuk sama ada ia berkaitan dengan kumpulan pemisah atau tidak," katanya.
Dalam kejadian letupan malam tadi, dua butir bom meletup di Hat Yai sementara lima yang lain di pekan Songkhla dalam tempoh beberapa jam.
Kedua-dua pekan itu terletak di wilayah Songkhla yang bersempadan dengan Pattani dan Yala, dua daripada tiga wilayah yang digegarkan dengan siri keganasan sejak empat tahun lalu.
Bom berkenaan meletup di dua buah kedai 7-Eleven, sebuah restoran, sebuah kedai kopi dan sebuah pos pemeriksaan polis dengan letupan pertama sekitar 9 malam (10 malam waktu Malaysia).
"Letupan itu menyebabkan dua mangsa cedera dan dimasukkan ke Hospital Songkhla,'' kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan hari ini.
Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Prat Boonyavongvirot berkata, dua remaja perempuan berusia 16 dan 18 yang cedera terkena serpihan bom itu dijangka pulih dalam masa terdekat.
Serangan ganas di selatan selalu tertumpu di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat dengan kedua-dua penduduk Islam dan Buddha menjadi mangsa tetapi ada kalanya ia turut berlaku di wilayah Songkhla.
AFP
____________________________________________________________________________________
Back to Main page
|